
TAWAU : Cubaan menyeludup masuk hampir 700,000 batang rokok dari negara jiran tumpas selepas sebuah van berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi awal pagi semalam.
Menurut Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim, kejadian berlaku sekitar jam 2.20 pagi apabila sepasukan anggota Unit Gempur Marin (UNGGERIN) mengesan sebuah van putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Titingan Icebox.
“Pemandu van bertindak melarikan diri, menyebabkan berlaku aksi kejar-mengejar selama hampir satu jam sebelum berjaya dipintas dan ditahan di Kampung Titingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan terhadap van itu membawa kepada penemuan longgokan plastik hitam yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenama, dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 678,400 batang rokok dengan nilai pasaran mencecah RM1,011,630.
Turut ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai pemandu van berkenaan untuk membantu siasatan.
Operasi bersepadu ini turut mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, IPD Kunak dan Unit Risikan PPM Tawau.
ACP Mohd Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Beliau turut menggesa orang awam supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku di kawasan masing-masing.