KINABATANGAN : Lima orang dilaporkan cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah van penumpang jenis Toyota Hiace dan sebuah lori di Jalan Segaliud, Kinabatangan malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui talian balai pada jam 2.48 petang, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan bergegas ke lokasi sejauh 26 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Zia Hairil Hamzah, berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu lori tersepit di bahagian tempat duduk dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas penyelamat.
Sementara itu, empat lagi mangsa yang berada di dalam van penumpang turut mengalami kecederaan, termasuk seorang penumpang yang juga tersepit di tempat duduk hadapan dan berjaya diselamatkan dengan menggunakan peralatan rescue tools.
“Kesemua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam laporan operasi berkenaan.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota bomba itu turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak KKM, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 malam.
