PUTATAN: Nilai perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama perlu dijaga semua pihak dalam memastikan pembangunan sosio terus menjadi keutamaan di Sabah, khususnya di kawasan DUN Tanjung Keramat.
Wakil rakyatnya, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, kesinambungan pelaksanaan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa mengutamakan ikatan ukhuwah di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini mampu menjadi intipati utama untuk persefahaman berkenaan.
Jelasnya, kepelbagaian insiatif yang sudah dan sedang dijalankan oleh pihak kerajaan juga melangkaui sempadan tanpa mengira latar belakang, kaum dan bangsa itu turut memberi pengiktirafan kepada rakyat Sabah supaya terus membangun dari semasa ke semasa.
“Sudah tentu, tugas untuk mengekalkan nilai perpaduan di kalangan rakyat dan bagi saya di kawasan DUN Tanjung Keramat ini bukanlah tugas mudah, namun demikian kita percaya Ketua Menteri dan barisan pimpinan yang ada telah menunjukkan komited agar nilai kesejahteraan ini dapat diseragamkan merentasi kepelbagaian kaum dan bangsa yang ada di Sabah.
“Sehubungan itu, selaras dengan usaha kami untuk meningkatkan perkembangan ekonomi dan sosio di Tanjung Keramat, penyelarasan pentadbiran kerajaan perlu dititik beratkan supaya ia sampai ke peringkat akar umbi.
“Saya juga mengajak masyarakat di Tanjung Keramat ini supaya terus menjadi mata dan telinga kepada kerajaan serta pihak berwajib bagi memastikan pembangunan di kawasan ini dapat dipertingkat dari semasa ke semasa” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program penyerahan bakul makanan bersempena perayaan Hari Natal tahun 2025 di sekitar lokasi Tanjung Keramat, Putatan, hari ini.
Mengulas mengenai program terbabit, Shah Alfie berkata, pihaknya turut berharap ianya menjadi medan ikatan jalinan di antara masyarakat akar umbi terutamanya penganut agama Krisitian di Tanjung Keramat.
“Saya berharap dengan adanya program sebegini, hubungan kita bertambah akrab dan pada masa sama kami turut dapat perkembangan secara telus di semua peringkat.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada masyarakat Tanjung Keramat yang menyambutnya.
“Sambutlah perayaan ini dan cuti hujung tahun dengan keluarga tersayang, elakkan perkara-perkara yang tidak membawa faedah, hati-hati memandu dan ingatlah orang yang tersayang, ” katanya.
