
PENAMPANG: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengingatkan golongan belia, beliawanis dan seluruh ahli PBS agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang disifatkannya sebagai cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan parti.
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-30 PBS Bahagian Moyog yang berlangsung di Turongou Farmstay di sini kelmarin, Dr. Joachim turut menepis dakwaan kononnya beliau dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan tidak dijemput ke acara anjuran Pertubuhan Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini.
“Saya telah menghantar wakil ke acara itu kerana pada masa yang sama saya perlu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan lima bahagian PBS di Beaufort. Bagaimana boleh dikatakan PBS tidak menyokong Ketua Menteri sedangkan ramai pemimpin dan wakil PBS turut hadir di sana?” katanya.
Beliau menegaskan, PBS kekal teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan menyeru semua ahli parti agar terus fokus dalam memperjuangkan agenda PBS.
“Jangan mudah terpedaya dengan hasutan pihak lawan. Stay focus… Perjuangan PBS masih jauh dan kita masih relevan,” tegasnya.
Dr. Joachim turut mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri hari ini adalah hasil kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus. Beliau mengimbas kembali peristiwa dua tahun lalu apabila PH memberi sokongan kepada Hajiji bagi mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri.
“GRS tidak akan lupa jasa PH yang menyokong Ketua Menteri ketika ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan beliau. Pihak lawan akan guna apa cara sekalipun untuk memecahbelahkan kita. Maka, kita harus kekal bersatu,” katanya lagi.
Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Bahagian PBS Moyog, John Chryso Masabal serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas jemputan merasmikan mesyuarat berkenaan.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan borang keahlian baharu kepada Dr. Joachim serta kehadiran barisan kepimpinan parti termasuk Naib-naib Presiden serta Exco Wanita dan Pemuda PBS.
Deasoka