
KENINGAU: Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) N.40 Bingkor, Tinus Majip bersama beberapa staf Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur hasutan, ugutan dan ancaman keselamatan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Turut hadir, Penyelia Masyarakat UPPM N.40 Bingkor, Haji Zaki Zakaria serta barisan Pemaju Mukim iaitu Rahman Bidin, George Dairie dan Garret Patrick.
Tinus berkata, laporan polis itu dibuat susulan tindakan seorang individu tidak bertanggungjawab yang secara terbuka mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat supaya membakar TYT, sesuatu yang disifatkannya sebagai melampaui batas undang-undang, norma masyarakat dan nilai kesopanan rakyat Malaysia.
“Langkah ini adalah tanggungjawab moral dan kewajipan kami sebagai penjawat awam untuk memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, selain menghalang usaha pihak tertentu menimbulkan kekacauan.
“Ini bukan soal politik atau perbezaan pandangan, tetapi menyentuh maruah dan keselamatan ketua negeri yang kita kasihi. Kenyataan berbaur hasutan sebegini amat berbahaya kerana boleh mempengaruhi pihak tertentu bertindak melulu hingga merosakkan keharmonian negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit kerana kenyataan sedemikian tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi melibatkan kedudukan TYT sebagai lambang perpaduan rakyat Sabah.
UPPM N.40 Bingkor dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa sebarang bentuk hasutan, ugutan atau ancaman keselamatan mesti ditolak sepenuhnya kerana budaya politik kebencian hanya akan meruntuhkan perpaduan serta mengundang perpecahan.
“Kami menyeru rakyat agar lebih berhati-hati, bijak menilai maklumat, tidak mudah terpengaruh dengan provokasi, dan bersama-sama menolak politik kebencian. Marilah kita mengutamakan keharmonian, saling menghormati dan memastikan keselamatan negeri sentiasa terjaga,” katanya.
UPPM Bingkor turut menegaskan komitmen untuk terus mendukung prinsip keamanan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat, serta berdiri teguh menentang sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menggugat kestabilan Sabah.