
Lahad Datu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya dalam memperluas akses pendidikan kepada masyarakat luar bandar menerusi pelaksanaan Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan 2025 yang berlangsung di Dewan PPR Taman Sri Sepagaya, di sini, hari ini.
Program berimpak tinggi itu merupakan kali ketiga diadakan di kawasan Silam hasil kerjasama strategik antara universiti dengan kepimpinan masyarakat setempat bagi memperkukuh hubungan universiti dan komuniti luar bandar.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman berkata, penganjuran program tersebut membuktikan komitmen berterusan universiti untuk menjadikan pendidikan sebagai asas kemerdekaan sebenar rakyat, khususnya di Sabah.
“Kita membawa matlamat yang sama iaitu memerdekakan pendidikan. Universiti bersama kepimpinan masyarakat berganding bahu memastikan ilmu dan peluang pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif itu turut memperlihatkan sokongan padu daripada pemimpin tempatan yang tampil memberikan sumbangan kepada pelajar baharu UMS yang baru mendaftar minggu lalu.
“Ini satu kebanggaan kerana ia membuktikan universiti dan masyarakat tidak terpisah. Dukungan sebegini amat penting agar usaha memerdekakan pendidikan dapat dicapai sepenuhnya, khususnya di Sabah,” ujarnya.
Prof. Dr. Jumat yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, berkata pendekatan berasaskan penyelidikan lapangan dan libatsama komuniti akan terus menjadi asas dalam memperkukuh jaringan antara universiti dan masyarakat luar bandar.
Beliau turut berharap agar usaha tersebut terus mendapat sokongan pelbagai pihak bagi memastikan visi UMS menjadikan pendidikan sebagai wahana pembangunan masyarakat dapat direalisasikan sepenuhnya.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Datuk Mizma Appehdullah.