
TUARAN: Bergabung atau tidak, UMNO Tuaran memberi bayangan untuk tetap mempertahankan kerusi DUN Pantai Dalit yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 lalu.
Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya menyifatkan kerusi itu wajar dipertahankan memandangkan ia adalah satu-satunya DUN yang menjadi keabsahan parti itu kekal relevan di bahagian berkenaan.
“Apa pun keputusan nanti, Pantai Dalit akan tetap ditandingi UMNO Tuaran.
“Sama ada bergabung atau tidak, ia adalah kerusi UMNO Sabah. Kita akan pertahankan kerusi ini kerana jika tidak, kita akan kehilangan hubungan dengan akar umbi di Tuaran.
“Pantai Dalit yang kini dipegang GRS akan kembali. Apa pun berlaku, UMNO akan bertanding di Pantai Dalit, Insya-Allah, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat perwakilan tahunan UMNO Tuaran yang dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Serbaguna Sulaman, Tuaran, hari ini.
Untuk rekod, kerusi DUN Pantai Dalit sebelum ini dimenangi oleh Datuk Jasnih Daya mewakili BN/UMNO pada PRN Sabah ke-16 dengan majoriti 3, 794 undi.
Bagaimanapun, Jasnih berubah haluan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS)/GRS pada bulan Februari 2023 selepas pergolakan politik Sabah yang dikenali sebagai Langkah Kinabalu.