
LAHAD DATU: UMNO Sabah perlu mempersiapkan minda untuk membuka pintu kepada sebarang bentuk kerjasama sama ada dengan parti-parti sahabat mahupun seteru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO pusat telah memberi sepenuhnya autonomi kepada UMNO Sabah untuk mencari dan menjalin kerjasama sama ada sebelum atau selepas PRN bagi tujuan membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“Tiada dominan yang akan membentuk kerajaan secara sendirian. Maka, saranan kita ialah supaya kerjasama ini boleh dibuat sebelum pilihan raya atau terutamanya selepas pilihan raya.
“Kita mahu Sabah dijadikan sebuah negeri yang stabil politiknya, kemajuan terus dibawa untuk Sabah, terutamanya menyelesaikan masalah-masalah utama yang menjadi keperluan rakyat Sabah.
“Untuk itu, UMNO dan BN Sabah yang telah kita berikan autonomi sepenuhnya agar dapat menjalinkan kerjasama secara bijaksana dengan lain-lain gabungan atau gagasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu pada Ahad.
Turut hadir, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Deasoka