
TUARAN: Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan bahawa negeri itu sentiasa bersedia menterjermah prestasi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu untuk membantu persiapan UMNO Tuaran menghadapi pilihan raya di negeri ini.
Sambil menyifatkan kejayaan PRN Johor sebagai manifestasi pihaknya untuk membantu UMNO Tuaran, beliau berkata perkara itu tidak terhasil sekiranya tiada kerjasama holistik di antara kedua pihak.
“Kita di Tuaran diminta membantu UMNO Bahagian Tuaran. Strategi, formula dan gerak kerja kita serahkan kepada pucuk pimpinan negara dan negeri.
“Kita hadir di Sabah untuk membantu di peringkat PDM dan cawangan. Bantuan kita dari segi tenaga kerja dan semangat untuk menjayakan strategi yang dirancang oleh pimpinan negeri UMNO, “katanya.
Menteri Besar Johor Baharu itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran di Dewan Serbaguna Sulaman, Tuaran, hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Khalid Jikar.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kesediaan UMNO Johor yang telah berkampung di daerah Tuaran sejak dua bulan lalu hanyalah sekadar membantu persiapan jentera, bukan lebih daripada itu.
“Ada beberapa orang telah hadir sejak dua bulan lalu.
“Seperti yang saya sebut, bukan untuk mengatur strategi tetapi lebih kepada membantu, ” katanya.