
KOTA KINABALU: Tuduhan pembangkang yang melabelkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan gagal dianggap tidak tepat, manipulatif serta hanya bertujuan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
Pemerhati politik tempatan, Aksyah Nasrah yang juga mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah menegaskan, kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan tidak boleh diukur secara berpilih, sebaliknya perlu dilihat dalam skop yang menyeluruh.
“Seandainya kita ingin mengukur pemimpin dan kerajaan pimpinannya berjaya atau gagal, ukuran itu hendaklah bersifat inklusif dan menyeluruh, bukan berdasarkan segmen berpilih seperti infrastruktur atau pertumbuhan ekonomi semata-mata,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Aksyah, pembangkang khususnya Parti Warisan sering menjadikan keadaan infrastruktur serta kedudukan ekonomi Sabah sebagai modal politik untuk menuduh GRS gagal.
“Warisan mendakwa Sabah gagal kerana tidak lagi tersenarai dalam enam penyumbang utama ekonomi negara. Kenyataan itu tidak tepat dan amat manipulatif. Begitu juga apabila ada pemimpin seperti ADUN Sri Tanjong, Justin Wong yang menuduh Hajiji gagal mengangkat ekonomi negeri – itu satu dakwaan tidak adil,” katanya.
Aksyah menjelaskan, semasa GRS mengambil alih pentadbiran pada 2020, Sabah berada dalam keadaan paling kritikal akibat pandemik COVID-19. Namun, dalam tempoh singkat, kerajaan negeri berjaya memulihkan keadaan serta menstabilkan semula ekonomi.
“Fakta jelas, pungutan hasil negeri meningkat saban tahun hingga mencecah hampif RM7 bilion – angka yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana kerajaan terdahulu dalam sejarah Sabah. Jika hanya melihat kadar pertumbuhan KDNK, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana angka itu amat dipengaruhi iklim ekonomi makro termasuk faktor global,” jelasnya.
Beliau menambah, selain mengembalikan kestabilan, Hajiji turut membuka laluan baharu untuk pembangunan jangka panjang dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Biru, yang sejajar dengan kekuatan Sabah sebagai negeri maritim yang kaya dengan sumber laut.
“Inilah ciri seorang pemimpin berwawasan jauh. Hajiji bukan sahaja menyelesaikan isu mendesak, malah merangka hala tuju baharu untuk memastikan Sabah mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mengenai masalah infrastruktur yang sering dijadikan modal pembangkang, Aksyah berkata isu itu tidak pernah benar-benar berada pada tahap memuaskan sejak dahulu lagi.
“Sejak bila infrastruktur Sabah berada dalam keadaan sempurna? Masalah air, elektrik dan jaringan jalan raya bukan bermula pada era GRS, ia masalah berakar umbi yang diwarisi sejak puluhan tahun lalu. Malah ada projek besar yang tergendala atau sakit akibat keputusan politik kerajaan terdahulu,” katanya.
Aksyah menegaskan, GRS kini sedang melaksanakan semula banyak projek fizikal berimpak tinggi yang sebelum ini terbengkalai, termasuk Pan Borneo yang tergendala selepas kontrak konsesi dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Dengan kecekapan pengurusan serta iltizam politik, GRS berjaya memulihkan projek-projek itu. Ini bukti ia bukan kerajaan gagal, malah paling jauh ke hadapan dalam memastikan pembangunan infrastruktur dapat diteruskan,” katanya.
Selain soal ekonomi dan infrastruktur, Aksyah berkata kejayaan GRS juga jelas dilihat melalui pelbagai dasar dan inisiatif baharu yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Antaranya termasuk program Rumah Mesra SMJ, Skim Insurans, bantuan SYUKUR serta peningkatan biasiswa pendidikan yang membuktikan kerajaan negeri serius dalam memelihara kebajikan rakyat.
“Ini antara ukuran penting kejayaan kerajaan yang tidak boleh dinafikan. Rakyat sendiri telah menikmati hasilnya. Justeru itu, adalah tidak adil jika pembangkang cuba menutup mata rakyat terhadap pencapaian ini,” katanya.
Aksyah turut menempelak gaya politik pembangkang yang menurutnya hanya menumpukan pada kelemahan tanpa menawarkan solusi.
“Kritikan yang tidak membina dan hanya berasaskan akal serta mata lalat perlu ditapis dan ditepis. Semua ini hanyalah semata-mata untuk membina naratif negatif kepada Hajiji dan GRS. Hakikatnya, kerajaan negeri sudah membuktikan hasil kerja mereka dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan janji pemimpin parti nasional yang kononnya mampu menyelesaikan masalah Sabah dalam tempoh tiga tahun.
“Mengapa tiga tahun? Kerana mereka tahu projek-projek yang sedang berjalan kini akan mula menampakkan hasil dalam tempoh itu. Inilah politik ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah merayu agar rakyat Sabah terus memberikan sokongan dan mandat baharu kepada GRS bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri.
“GRS adalah kerajaan setahun jagung, tetapi hasilnya jauh lebih baik berbanding parti yang pernah memerintah Sabah lebih tiga dekad. Sabah memang kita punya, maka kitalah yang harus menjaganya. Jangan serahkan lagi kepada tangan yang salah,” katanya.
Menurutnya, keberanian Hajiji dan GRS dalam memperbetulkan kelemahan lama serta merangka hala tuju baharu melalui Wawasan Sabah Maju Jaya membuktikan negeri ini berada di landasan tepat untuk mencapai masa depan lebih makmur.
“Sesungguhnya, Hajiji dan GRS telah berusaha bersungguh-sungguh memulihkan serta mengisi Sabah yang lebih sejahtera. Rakyat perlu melihatnya dengan mata hati, bukan persepsi sempit,” tegasnya.
Deasoka