
TAWAU : Polis menahan dua lelaki warga China selepas disyaki menghantar emel ugutan palsu mendakwa terdapat bom dalam pesawat dari Tawau ke Kuala Lumpur, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu diberkas di sebuah bilik hotel di Semporna sekitar jam 8 malam hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau dengan kerjasama BSJD IPD Semporna.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang daripada mereka mengaku menghantar mesej ugutan itu melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan, kononnya kerana mahu mendapatkan respon segera untuk menukar tempat duduk dalam penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing.
“Suspek mendakwa terbaca di sebuah portal di China bahawa ancaman berbentuk bom boleh mempercepatkan maklum balas daripada syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, emel ancaman itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur pada 20 September sekitar jam 11.30 malam sebelum dimaklumkan kepada pihak keselamatan syarikat di Lapangan Terbang Tawau.
Sebuah telefon bimbit milik suspek yang digunakan untuk menghantar ugutan turut dirampas.
“Kedua-dua mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pihak Konsulat China juga sudah dimaklumkan,” katanya.
ACP Jasmin menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk ancaman yang boleh mencetuskan panik, terutama melibatkan penerbangan awam.
“Keselamatan di lapangan terbang sentiasa berada pada tahap tertinggi demi menjamin keselamatan penumpang, kakitangan dan operasi.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan teknologi dengan menyebarkan kandungan palsu, jelik atau berbaur ancaman kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.