
LAHAD DATU : Seorang lelaki tempatan bertindak di luar kawalan apabila sanggup mengugut mahu membunuh bapanya sendiri menggunakan parang hanya kerana berang gitar miliknya dipinjamkan kepada sepupu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang kelmarin di Kampung Jawa, Jalan Segama di sini apabila suspek berusia 41 tahun mengamuk selepas mendapati gitar kesayangannya dipinjamkan oleh bapanya.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak agresif sambil membawa sebilah parang sebelum mengugut bapanya yang berusia 75 tahun.
Menurutnya, sepasukan polis menjalankan Op Cantas pada jam 11 malam hari sama sebelum berjaya menahan suspek bersama parang yang digunakan dalam kejadian itu.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine manakala semakan lanjut turut mendedahkan suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.