
KOTA KINABALU: Istana Negeri Kinabalu menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk dan siasatan menyeluruh melibatkan Allahyarhamah Zara Qairana Mahathir.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, siasatan itu perlu dilakukan secara tuntas tanpa pilih kasih, rasa takut dan meliputi pelbagai aspek.
Menurut Tun Musa, tuntutan keadilan bukannya satu bentuk pembalasan namun ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk menghukum mereka yang bersalah.
“Siasatan ini mestilah dilaksanakan penuh ketelitian tanpa rasa takut, pilih kasih, berlandaskan kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.
“Saya dan Toh Puan serta seluruh rakyat di negeri ini merakamkan ucapan takziah dan simpati terhadap keluarga Allahyarhamah Zara.
“Semoga keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan, ketabahan dalam menghadapi dugaan amat berat ini, “katanya dalam satu kenyataan media rasmi hari ini.
Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarham Zara akan diadakan pada Khamis (14 Ogos 2025) selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.