
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengetuai kepimpinan negeri menghadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Tahun 2025 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri/Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.Haji Mohd Arifin Haji Mohd.Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong, barisan wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan azan, Solat Jumaat dan Solat Hajat bagi memohon keberkatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah.
Program tahunan itu diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta sebagai simbolik kesyukuran rakyat Sabah atas nikmat keamanan, kemajuan dan keharmonian yang terus dikecapi sejak pembentukan Malaysia.