
Kota Kinabalu: Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat semakin merapu dengan pelbagai pengumuman dan kenyataan tidak masuk akal.
Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ini termasuklah kenyataan terbaru beliau yang menyalahkan pihak lain susulan isu kebersihan di daerah Semporna, baru-baru ini.
Jelasnya, menuding jari kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu merupakan satu tindakan tidak profesional apatah lagi sudah bergelar wakil rakyat di Semporna selama tiga dekad.
“Menjadi Ahli Parlimen selama 30 tahun, ADUN Senallang dua penggal, menjadi Ketua Menteri Sabah selama dua tahun pun pernah…tetapi Semporna masih juga kotor, banyak sampah dan berterabur.
“Tindakan beliau menyalahkan PBT dan menegur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming tempoh hari pun seakan beliau cuba lepas tangan dengan meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkaitan, sedangkan selama beliau menjadi wakil rakyat Semporna…tidakkah beliau sedar isu ini?
“Jelaslah semakin lama beliau semakin menghadapi krisis pentadbiran, bagaimana mahu mentadbir Sabah jika tempat sendiri pun terbiar dan kotor,” katanya.
Terdahulu, isu sampah sarap dan kekotoran daerah Semporna menerima liputan luas susulan video yang ditularkan oleh pelancong asing yang secara jelas mengkritik kejijikan persekitaran daerah terbabit yang rata-ratanya dipenuhi sampah sarap.
Perkara itu kemudiannya mendapat reaksi daripada Nga yang menegur Shafie supaya lebih perbanyakkan turun padang kerana insiden berkenaan dikatakan memalukan Malaysia.
Bagaimanapun, Mohd Shafie membalas kritikan tersebut dengan menyifatkan PBT di bawah kerajaan negeri untuk bertanggungjawab mengenai perihal tersebut.
Sementara itu, Najib Tay pada masa sama mendakwa Ahli Parlimen Semporna itu memunasabahkan diri, sebelum menyerang pihak lain berhubung isu-isu di Sabah.
“Terbaru, beliau ada mengumumkan untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari sekiranya Warisan diberi mandat sebagai kerajaan pada PRN akan datang.
“Suka saya ingatkan, selama beliau menjawat jawatan Ketua Menteri pada tahun 2018 hingga 2020 pun isu air masih sama, tiada kemajuan malah lantik Pengarah Jabatan Air pun di kalangan ahli parti, bukannya penjawat awam.
“GRS di bawah kepimpina Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sudah selesaikan 11 projek air sejak 2023 dengan sembilan lagi yang dijangka siap pada tahun hadapan.
“Sudah-sudahlah beretorik, janji urus airlah, urus rasuahlah sedangkan isu Semporna yang kotor selama 30 tahun jadi wakil rakyat pun tidak selesai-selesai,” katanya.