
KOTA KINABALU: Sabah tidak boleh lagi terperdaya dengan slogan retorik atau janji palsu pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), kata Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau menegaskan, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor terbukti jauh berbeza kerana dalam lima tahun menerajui negeri, beliau tidak pernah menjual “mimpi indah” kepada rakyat, sebaliknya menumpukan usaha memulihkan Sabah daripada krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.
“Ketika PRN-16 lalu, Hajiji tidak menjanjikan apa-apa yang menggunung. Tiada slogan kosong, tiada janji manis. Sebaliknya beliau bersama Gabungan Rakyat Sabsh (GRS) memilih untuk ‘reset’ dan mengembalikan Sabah ke landasan yang benar.
“Dan hasilnya jelas – ekonomi kembali pulih, pungutan hasil meningkat saban tahun, pembangunan berjalan lancar. Ini bukan janji, tetapi realiti yang rakyat sendiri nikmati,” katanya ketika mengulas pencapaian Kerajaan GRS selama 5 tahun mentadbir Sabah.
Aksyah menegaskan, rakyat Sabah mesti menolak pihak luar yang mahu menunggang sistem politik negeri ini dengan menjual naratif baharu yang hanya kedengaran manis, tetapi kosong.
“Sabah tidak perlukan ‘Tawaran Baharu’, tidak perlukan slogan ‘Selamatkan Sabah’ atau ‘Kasi Bagus Sabah’. Negeri ini sudah pun jauh lebih bagus daripada sebelumnya.
“Jangan biarkan pihak luar atau kelompok yang tidak mengutamakan pribumi Sabahan merosakkan kestabilan yang kita capai. Politik berasaskan suku, kedaerahan dan kepentingan luar mesti ditolak habis-habisan,” tegasnya.
Menurutnya, PRN-17 bukan sekadar pilihan raya, tetapi penentu kepada masa depan negeri agar Sabah kekal dipimpin oleh parti tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
“Ini tanda aras kebijaksanaan rakyat Sabah. Rumah kita, kitalah yang jaga. Masa depan Sabah tidak boleh diletakkan di tangan orang luar yang hanya pandai menabur janji,” katanya.
Aksyah menambah, Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 adalah pelan menyeluruh untuk membawa negeri ke tahap lebih makmur, aman dan sejahtera, dan hanya boleh direalisasikan dengan mandat jelas rakyat pada PRN-17.
“Rakyat Sabah harus bergerak ke hadapan, bukan berpatah balik kepada politik ilusi. Masa depan negeri ini mesti dipertahankan dengan kepimpinan tempatan yang ikhlas dan terbukti berkesan,” ujarnya.