
KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 merupakan medan referendum rakyat untuk menentukan sama ada mandat harus diberikan kepada parti tempatan seperti GRS atau parti nasional seperti Barisan Nasional (BN).
Beliau menyokong penuh pendirian Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yang menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar wujud kerjasama tiga penjuru antara GRS, Pakatan Harapan (PH) dan BN menjelang PRN kali ini.
“Pendirian ini selari dengan kenyataan jelas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama politik pada PRN ini hanya melibatkan GRS dan PH Plus, berteraskan keikhlasan dan kejujuran demi kestabilan politik negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah turut mengingatkan agar kepimpinan tertinggi nasional, termasuk Perdana Menteri, tidak memaksa kerjasama antara GRS dan BN yang disifatkannya umpama “menggabungkan air dan minyak”.
Menurut beliau, formula politik Sabah kini memerlukan GRS diangkat sebagai tonggak utama dalam apa jua gabungan politik yang dibentuk, sejajar dengan semangat autonomi dan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga”.
“Saya hairan kenapa PMX bertindak seolah-olah menjadi wakil BN untuk menentukan bentuk kerjasama politik di Sabah. Kerjasama GRS dengan PH Plus sudah memadai. Di mana suara pemimpin BN Sabah dalam mempertahankan hak menentukan halatuju mereka sendiri?” soalnya.
Aksyah turut mempersoalkan pendirian BN Sabah yang sering dilihat tidak konsisten, malah pernah menolak GRS sebagai rakan politik yang setaraf.
Katanya, sejarah hubungan lalu membuktikan GRS tidak terdesak untuk bekerjasama dengan BN.
“Jika benar kerjasama BN-PH telah ‘dikunci’ seperti dakwaan Presiden UMNO, maka seharusnya BN Sabah tampil menyatakan pendirian jelas bahawa pintu rundingan kerjasama dengan GRS telah ditutup,” tegasnya.
Tambahnya, BN Sabah tidak sepatutnya bersikap “Yes-Man” kepada arahan pemimpin pusat sedangkan mereka berulang kali menyatakan GRS bukan sebuah parti kuat dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.
“GRS tidak pernah bergantung kepada simpati mana-mana pihak. Sebaliknya, sudah bersedia membawa aspirasi rakyat Sabah menerusi PRN-17 sebagai medan referendum sebenar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama politik GRS bersama PH Plus lebih meyakinkan berbanding BN, kerana ia dibina atas asas saling percaya dan keikhlasan.
Deasoka