KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) telah memberi amaran bahawa mana-mana anggota parti yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) 2025 akan dipecat.
Tindakan bertanding atas tiket BEBAS adalah bertentangan dengan pendirian dan keputusan parti sebagai komponen dalam Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
PGRS menegaskan bahawa mana-mana individu yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon BEBAS tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti dan mana-mana pimpinan parti, walaupun mereka merupakan ahli PGRS.
Sehubungan itu, pihak parti telah membuat keputusan untuk memecat serta merta manamana ahli parti yang melanggar ketetapan tersebut.
PGRS menyeru semua penyokong dan jentera parti untuk memperkuatkan kesatuan serta fokus sepenuhnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum DUN Sabah 2025, dengan memastikan kemenangan calon-calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah.
