LAHAD DATU: Tiga maut manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Jalan Dewata, Pondok Ketam, Isnin.
Mangsa yang maut adalah pemandu Toyota Innova, lelaki berusia 56 tahun, penumpang lelaki berusia 43 tahun dan seorang penumpang wanita berusia 39 tahun.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada 1.25 tengah hari dan mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
Komander Operasi melaporkan bahawa empat mangsa terlibat dalam kemalangan membabitkan Toyota Innova yang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak dan sebuah treler dari arah bertentangan.
Toyota Innova berkenaan diseret kira-kira 30 meter selepas bertembung dengan treler berkenaan.
“Terdapat empat mangsa terlibat dalam Toyota Innova. Pegawai Perubatan KKM mengesahkan tiga mangsa meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera parah.
“Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” menurut Bomba.
Bomba dalam kenyataan memberitahu bahawa kanak-kanak berkenaan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu treler dilaporkan selamat dan maklumat tidak diperolehi kerana beliau telah ke balai polis berhampiran.
