
Sedih membaca artikel saudara Ab Jalil Backer baru-baru ini yang menempelak suara lantang wakil rakyat Sabah seperti YB Isnaraissah Munirah, jelas memperlihatkan betapa masih ramai di luar sana yang gagal memahami denyut nadi sebenar rakyat Sabah.
Bukan soal sentimen “Sabah for Sabahan” atau “Rumah kita, kita jaga” yang perlu dijadikan momokan, tetapi soal hak dan maruah yang sudah lama tertangguh untuk ditunaikan.
Bila wakil rakyat Sabah bersuara keras menuntut keadilan, itu bukan tanda derhaka, tetapi cerminan tanggungjawab terhadap rakyat yang diwakilinya.
Dalam konteks demokrasi, wakil rakyat bukan hiasan di Parlimen.
Mereka dipilih untuk membawa suara rakyat suara yang mendambakan keadilan dalam pembahagian hasil bumi, kuasa pentadbiran dan pembangunan seimbang.
Maka, apabila YB Isnaraissah Munirah menegaskan tentang kepentingan mengembalikan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, beliau sebenarnya mengangkat maruah Sabah yang terlalu lama dipinggirkan dalam rundingan kuasa dan agihan hasil.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang memihak kepada Sabah dalam tuntutan 40 peratus hasil negeri menjadi bukti sahih bahawa tuntutan ini bukan retorik politik.
Mahkamah mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk mengembalikan peruntukan itu kepada negeri ini.
Ia satu pengiktirafan penting terhadap perjuangan panjang rakyat Sabah bahawa hak Sabah bukan sekadar janji politik, tetapi kewajipan undang-undang yang mesti dihormati dan dilaksanakan segera.
Namun, apa yang dikesalkan, setiap kali isu hak Sabah dibangkitkan, ada suara dari Semenanjung yang cepat menuduh ia sebagai usaha memecah belahkan negara.
Inilah persepsi sempit yang harus dihentikan.
Rakyat Sabah tidak menolak Malaysia, tidak menolak parti dari Semenanjung, dan tidak menolak perpaduan nasional.
Apa yang dituntut hanyalah ruang pentadbiran yang lebih adil, autonomi yang dijanjikan, dan kepercayaan bahawa orang Sabah sendiri mampu mentadbir negeri mereka.
Sarawak telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana sebuah negeri boleh menegaskan haknya tanpa menggugat perpaduan negara.
Negeri itu tegas dalam mempertahankan hasil minyak dan gas serta hak perundangan sendiri. Sabah juga berhak untuk menuntut layanan yang setimpal.
Jika Sarawak boleh menjadi model kuasa negeri yang kuat, mengapa Sabah tidak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah? Bukankah itu juga semangat Malaysia yang sebenar?
Ini bukan isu “Sabah lawan Malaya”. Dalam setiap rumah tangga Sabah sendiri, ramai yang sudah berbesan, berkahwin, dan berkeluarga dengan orang Semenanjung.
Tiada siapa menolak persaudaraan itu.
Tetapi dalam soal pentadbiran dan ekonomi, biarlah rakyat Sabah diberikan kepercayaan penuh.
Biar keputusan tentang tanah, hasil bumi, pendidikan dan pembangunan dibuat oleh mereka yang memahami realiti setempat, bukan oleh birokrat jauh di Putrajaya yang mungkin tidak tahu pun di mana letaknya Tongod atau Paitan di peta.
Pemimpin Sabah dari mana-mana parti sama ada Warisan, GRS, UMNO Sabah, BERSATU Sabah, KDM atau mana sekalipun mesti bersatu dalam satu perkara ,menuntut hak negeri ini secara tegas dan berstrategi.
Perbezaan politik tidak boleh menjadi alasan untuk tunduk atau berdiam diri.
Ini masa untuk mengetepikan kepentingan parti dan mengutamakan Sabah.
Hak 40 peratus itu bukan milik parti, tetapi milik rakyat Sabah seluruhnya.
Akhirnya, menuntut hak bukan tanda permusuhan, tetapi lambang cinta kepada tanah air.
Urang Sabah tidak meminta lebih, hanya mahu apa yang dijanjikan dikembalikan. Kalau mahkamah sudah mengesahkan hak itu, tidak ada sebab lagi untuk Putrajaya menangguhkannya.
Sabah tidak menentang, cuma menuntut dan menuntut hak sendiri bukan satu dosa ia kewajipan moral dan politik yang mesti diteruskan.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025