
- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibina atas asas saling percaya dan tanggungjawab bersama. Ia bukan satu pakatan yang diwujudkan atas paksaan atau ugutan. Jika ada mana-mana parti atau individu yang sudah tidak yakin atau tidak selesa lagi dengan hala tuju gabungan ini, maka pilihan untuk berundur sentiasa terbuka. Ini demokrasi — tetapi demokrasi bukan tiket untuk mengugut, menghasut atau menjadi gunting dalam lipatan.
- Empat tahun kita berdiri sebaris dalam kerajaan negeri. Pada Pilihan Raya Negeri Sabah tahun 2020, semua calon USNO tewas, termasuk Presidennya sendiri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang kalah di DUN Pintasan kepada calon muda yang beliau sendiri perlekehkan sebagai “budak ingusan.” Malah, majoriti calon USNO ketika itu hilang deposit. Namun begitu, atas semangat penyatuan dan keikhlasan kepimpinan YAB Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, USNO tetap diberikan tempat dalam kerajaan — kedudukan, tanggungjawab dan pelbagai kemudahan — meskipun tidak menang walau satu kerusi.
- Tetapi apabila pilihan raya semakin hampir, tiba-tiba suara yang senyap selama ini muncul kembali — kali ini dengan nada ugutan dan tuntutan. Di mana suara itu selama empat tahun ini?
- Kalau benar tidak puas hati — jangan paksa diri. Keluar sahaja. Jangan jadi musuh dalam selimut, duri dalam daging. Jangan simpan racun dalam hati tetapi berpura-pura bersalam di pentas. Jika niat sudah tidak selari, lebih baik nyatakan dengan terbuka. Gabungan ini tidak dibina untuk melayan kehendak peribadi sesiapa.
- Ironinya, dalam USNO sendiri pun tidak nampak demokrasi. Jawatan-jawatan utama parti semuanya dikawal oleh Presiden. Tidak diberi ruang kepada pemimpin pelapis untuk bangkit. Jika dalam rumah sendiri pun enggan berkongsi kuasa, apatah lagi dalam gabungan? Pemimpin sebegini tidak layak bercakap soal hak dan keadilan dalam GRS.
- Sejarah politik Sabah sentiasa rosak apabila ada individu yang lebih sayang kepada jawatan berbanding kestabilan. Gabungan ini dibina oleh mereka yang sanggup turun ke bawah, berpeluh di lapangan, berkhidmat kepada rakyat — bukan oleh mereka yang hanya menunggu pilihan raya untuk bermain sandiwara.
- Kepimpinan sebenar ialah ketika kita diuji. Bukan ketika lampu sorot memancar. Mereka yang setia waktu gelap, itulah pemimpin. Mereka yang mahu menjauhi diri bila tidak dapat apa yang diidamkan — itulah penumpang. Orang muda Sabah sudah muak dengan pelakon- pelakon politik ini.
- Empat tahun dalam kerajaan, guna semua kemudahan, nikmati semua faedah. Tapi di saat akhir, tunjuk belang. Ini bukan lagi politik matang — ini pengkhianatan senyap. Dan rakyat akan ingat siapa yang menikam ketika tangan sedang berjabat.
- Demi perpaduan GRS, kita tidak boleh berlembut dengan mereka yang jelas tidak setia. Pintu keluar sentiasa terbuka. Jangan jadikan GRS sebagai tebusan peribadi. Rumah ini dibina atas keringat ramai. Kalau ada yang mahu bakar rumah ini dari dalam — kita keluarkan mereka sebelum api marak.
Kenyataan media oleh Rafie Robert, Timbalan Ketua Bahagian GRS Bingkor