
Langkah Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) meninggalkan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menandakan satu detik penting dalam landskap politik negeri di ambang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Tindakan ini bukan sekadar pergolakan biasa dalam politik Sabah, tetapi mencerminkan realiti persaingan sebenar antara blok tempatan dan pusat kuasa baharu yang sedang terbentuk di bawah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Sejak penubuhan GRS, gabungan ini dilihat sebagai payung besar yang menyatukan pelbagai entiti politik di bawah semangat autonomi Sabah. Namun, seiring berjalannya masa, retak halus mula kelihatan terutamanya dalam isu agihan kerusi, dasar kerjasama dengan parti Semenanjung, dan soal identiti politik “Sabah for Sabahans”.
Keputusan STAR dan SAPP untuk menarik diri kini membuka lembaran baharu, sekaligus memberi ruang kepada KDM untuk melonjak menjadi pemain utama dalam blok politik tempatan.
Dari perspektif geopolitik Sabah, kekuatan KDM terletak di kawasan pedalaman dan majoriti Kadazan-Dusun-Murut.
Dengan keluarnya STAR yang juga memiliki pengaruh di zon serupa peta persaingan etnopolitik di Sabah kini beralih dengan cepat.
Banyak pemerhati menjangkakan bahawa pengundi tradisional STAR mungkin terpecah dua: sebahagian kekal dengan Datuk Jeffrey Kitingan atas faktor sentimental, namun sebahagian besar cenderung beralih kepada KDM yang dilihat lebih progresif dan berjiwa muda.
Secara strategik, KDM kini berada di posisi terbaik untuk menjadi ‘kingmaker’ dalam PRN-17. Dengan kerjasama taktikal yang berpotensi dengan Warisan, atau mungkin juga parti Semenanjung tertentu, Datuk Peter Anthony mampu memperkukuh naratif bahawa hanya parti tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat Sabah.
Tambahan pula, imej Peter sebagai pemimpin lantang memperjuangkan hak negeri memberi kelebihan moral dan psikologi dalam kempen mendatang.
Sebaliknya, langkah STAR dan SAPP keluar dari GRS boleh dilihat sebagai isyarat bahawa gabungan tersebut sedang berdepan krisis kepercayaan dalaman.
GRS yang dulunya stabil di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor kini berpotensi berhadapan cabaran fragmentasi. Jika tidak ditangani dengan cepat, GRS berisiko kehilangan sebahagian sokongan akar umbi yang mula mempersoalkan hala tuju sebenar gabungan tersebut adakah ia masih berjiwa Sabah, atau sekadar wadah politik pragmatik tanpa idealisme kukuh?
Bagi SAPP pula, tindakan keluar dari GRS dilihat sebagai percaturan survival politik,parti yang pernah menjadi kuasa besar era 90-an ini cuba mencari semula relevansi dengan pendekatan politik baru, mungkin dengan membuka ruang kerjasama kepada blok tempatan lain termasuk KDM.
Namun, realitinya, kekuatan SAPP di lapangan kini terhad dan bergantung kepada kredibiliti personal Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.
Dalam konteks PRN-17, dinamika baharu ini bakal mencorak pertandingan yang lebih sengit dan sukar dijangka. Jika PRN sebelum ini memperlihatkan dominasi blok kerajaan, kali ini landskapnya jauh lebih cair.
Pengundi muda dan bukan partisan khususnya di kawasan separa bandar seperti Penampang, Papar, dan Lahad Datu akan menjadi faktor penentu kepada siapa yang bakal membentuk kerajaan negeri seterusnya.
Analisis awal menunjukkan bahawa KDM berpotensi menambah kerusi terutama di kawasan pedalaman jika berjaya mengukuhkan jentera di lapangan serta menampilkan calon berprofil tinggi.
STAR pula mungkin mengekalkan beberapa kubu kuat tradisi seperti Tambunan dan Keningau, namun bakal berdepan tekanan hebat daripada KDM dan Warisan yang kini lebih agresif memikat pengundi luar bandar.
Kelebihan KDM juga datang daripada naratif kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat yang menjadi teras perjuangannya.
Peter Anthony sering menekankan bahawa politik Sabah mesti kembali kepada rakyat bukan kepada kepentingan elit.
Jika mesej ini diterjemahkan dengan strategi komunikasi yang berkesan, ia mampu mengubah gelombang sentimen akar umbi menjelang PRN-17 ditambah pula dengan imej anak beliau, Priscella sebagai ‘newbie’ dalam arena politik dan dilihat sebagai penerus legasi Peter Anthony.
Namun begitu, realiti politik Sabah sentiasa bersifat dinamik ‘Tiada pakatan yang kekal, dan tiada musuh yang abadi’.
Apa yang pasti, keluarnya STAR dan SAPP daripada GRS telah membuka ruang kepada satu pergelutan baharu antara parti-parti tempatan yang ingin mengangkat maruah dan kuasa politik Sabah di mata Putrajaya.
Dalam percaturan ini, KDM kini berada di tengah pentas, dengan peluang emas untuk membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pelengkap, tetapi bakal penentu hala tuju politik negeri ini.
PRN-17 bukan sekadar pilihan raya, ia bakal menjadi referendum sebenar terhadap masa depan autonomi Sabah dan hala tuju politik negeri ini sama ada kekal dalam pakatan pusat atau memilih jalan berdikari di bawah kepimpinan parti-parti tempatan yang semakin matang dan berani.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik. Ia sekadar pandangan pemerhati politik berdasarkan situasi semasa.
Penulis pernah berkhidmat dengan ahli politik Sabah dan bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025