
PAPAR: Polis menegaskan tiada sebarang bukti setakat ini yang mengaitkan penglibatan anak orang kenamaan (VIP), ahli keluarga menteri atau pihak Istana Negeri Sabah dalam siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya komited memastikan setiap sudut siasatan diteliti dengan adil dan telus tanpa sebarang kompromi.
“Siasatan yang dijalankan setakat ini tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan (VIP) dalam kes berkenaan, memandangkan tiada rekod menunjukkan anak-anak mereka bersekolah di sekolah itu, “katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan proses keadilan.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial yang mengaitkan kematian pelajar terbabit dengan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh hingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Semalam, Istana Seri Kinabalu tampil menafikan sepenuhnya dakwaan yang mengaitkan keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dengan kes tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan kertas siasatan sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Setakat ini, seramai 60 individu termasuk guru dan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah itu.
Deasoka