
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus mendukung usaha kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam menghadapi cabaran semasa tanpa terpengaruh dengan dakyah politik berterusan dari pihak pembangkang.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menegaskan, musibah (bencana banjir dan tanah runtuh) yang berlaku hari ini seharusnya dijadikan pelajaran untuk rakyat terus bersyukur kerana negeri ini masih aman dan sejahtera.
“Dalam keadaan penuh musibah ini pun, ada pemimpin pembangkang yang terus berpolitik menggambarkan mereka hanya mahu kuasa hingga membelakangi kepentingan rakyat.
“Sedangkan Ketua Menteri terus berusaha memastikan semua kawasan yang berdepan masalah tetap dipelihara,” katanya dalam catatan terbaru di media sosial.
Aksyah menegaskan kestabilan dan perpaduan adalah kunci utama yang perlu dipertahankan, apatah lagi wujud cubaan pihak tertentu menghasut golongan muda supaya meniru gerakan politik menjatuhkan kerajaan seperti di Indonesia dan Nepal.
“Jika keadaan terkini pun mereka sukar hadapi, bayangkan sekiranya berlaku darurat akibat memilih untuk menubuhkan kerajaan dengan menimbulkan huru-hara. Hakikatnya, kerajaan Gabungan Rakyat Sanah (GRS) di Sabah amat jauh berbeza dengan situasi politik di Indonesia atau Nepal.
“Hanya mereka yang rakus kuasa mahu melihat kerajaan runtuh sedangkan banyak inisiatif pembangunan dan peningkatan sosio-ekonomi rakyat telah dan sedang dijalankan,” tegasnya.
Beliau turut menempelak segelintir pihak yang bersikap munafik kerana mencetuskan keresahan, sedangkan rakyat seharusnya menilai dan menghargai nikmat kestabilan yang dibawa kerajaan hari ini. Walhal, masalah yang dihadapi kini seperti ketiadaan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah disebabkan oleh bencana alam dan telahpun diambil tindakan segera.
“Teruskan bekerja Ketua Menteri. Rakyat Sabah bukan manusia yang kufur nikmat untuk tidak menilai kebaikan yang kerajaan lakukan ketika ini,” katanya.
Aksyah berkata, cabaran yang berlaku hanyalah pelajaran bagi mereka yang mahu mengerti erti kesyukuran, kestabilan dan keutuhan perpaduan.