
LAHAD DATU : Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Victor Sanjos, menyeru semua pihak termasuk komuniti maritim, pengamal media dan para pengkaji supaya menggunakan terminologi baharu “Kawasan Sabah Timur” bagi menggantikan istilah “Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah”.
Beliau berkata, penggunaan istilah baharu itu lebih sesuai kerana ia menggambarkan keseluruhan tiga domain utama di bawah tanggungjawab ESSCOM iaitu darat, laut dan udara, dan tidak lagi terhad kepada kawasan pantai timur semata-mata.
“Saya ingin memaklumkan kepada rakan-rakan media dan pengkaji bahawa mulai hari ini, istilah yang tepat untuk digunakan ialah Kawasan Sabah Timur kerana ia merangkumi domain darat, laut dan udara.
Terminologi yang sepatutnya digunakan bukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, tetapi Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) iaitu Kawasan Selamat Sabah Timur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Datuk Victor menegaskan, perubahan istilah itu penting bagi memastikan kefahaman yang lebih jelas terhadap skop dan peranan ESSCOM yang meliputi keseluruhan kawasan strategik keselamatan di bahagian timur negeri ini.