
Lahad Datu : Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kerana disyaki melakukan perbuatan cabul terhadap anak saudaranya sendiri.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mendakwa telah menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral pakciknya sejak berusia 10 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan perumahan sebuah ladang di sini. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek berjaya ditahan di sebuah kampung sekitar jam 10.40 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.