TAWAU : Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas lima pertuduhan menerima wang berjumlah lebih RM1.3 juta yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram, dua tahun lalu.
Tertuduh, Norhafiza Abbas, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Norhafiza didakwa menggunakan akaun Abbas Family Enterprise untuk menerima RM806,250 daripada akaun Zerina Collection antara 21 Mei hingga 8 Jun 2023 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Tawau.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM23,500 daripada akaun sama ke dalam akaun peribadinya di bank yang sama pada 25 Mei 2023.
Pertuduhan ketiga pula menyatakan tertuduh menggunakan akaun perniagaan sama untuk menerima RM193,000 daripada Zerina Collection Sdn Bhd antara 20 Mei hingga 7 Jun 2023.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima RM209,573.50 daripada akaun Public Islamic Bank milik Zerina Collection antara 23 Mei hingga 15 Julai 2023 ke dalam akaun perniagaan sama.
Untuk pertuduhan terakhir, Norhafiza didakwa menerima RM80,000 daripada akaun Public Bank Berhad milik syarikat sama pada 18 Julai 2023.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Tawau, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
