
SIPITANG: Sumbangan empat unit mesin hemodialisis kepada Hospital Sipitang merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri meningkatkan kemudahan rawatan kepada pesakit buah pinggang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, Kerajaan Negeri dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyedari akan kekurangan mesin hemodialisis di hospital di negeri ini yang memerlukan tambahan atau menggantikan mesin hemodialisis yang rosak.
Justeru itu, katanya, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menerusi Menterinya Datuk James Ratib memperjuangkan masalah rakyat ini dan Kerajaan Negeri memberikan komitmen untuk pembelian mesin hemodialisis agar rakyat mendapat kemudahan rawatan kesihatan yang terbaik.
“Ini dilaksanakan menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya ‘Sabah Sejahtera’ bagi meningkatkan akses rawatan kepada pesakit buah pinggang khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya pada Majlis Penyerahan Empat Mesin Hemodialisis kepada Hospital Sipitang oleh Datuk James Ratib, semalam.
Hadir sama, Pengarah Hospital Sipitang Dr Christopher Raj, Pengarah Hospital Beaufort Dr Sutharsan A/L Kannan dan Pengarah Hospital Kuala Penyu Dr Mohamad Sobri Saupi.
James turut menyampaikan sumbangan empat mesin hemodialisis masing-masing kepada Hospital Beaufort dan Hospital Sipitang.
Ini merupakan antara 100 mesin hemodalisis yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada hospital-hospital di Sabah menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya ‘Sabah Sejahtera’.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) berkata, menerusi skim bantuan itu juga, pesakit dialisis juga dikecualikan bayaran setiap sesi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
Menurutnya, jumlah pesakit buah pinggang tahap akhir yang fasiliti Kerajaan terus meningkat kepada 2.133 orang pada tahun ini.
Beliau berkata, QSB menerusi Yayasan Qhazanah turut memberi komitmen meringankan beban pesakit buah pinggang dengan menaja kos rawatan sesi dialisis dua pesakit di Hospital Universiti Malaysia Sabah.
Deasoka