Kota Kinabalu: Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ‘wayang’ yang dilakukan oleh ahli perniagaan, Datuk Albert Tei.
Mengibaratkan kelakuan beliau semakin lama semakin melarat, Najib mencadangkan supaya Albert menjaga kelakuan dan menjaga batas yang ada.
“Sejak akhir-akhir ini, kelakuannya semakin melampau…sudahlah berani menyerang Ketua Menteri (interim) secara terbuka bahkan hari-hari meratib yang bukan-bukan.
“Terbaru, beliau buat onar ketika dihalang masuk dan menuduh ia adalah kerja orang tertentu namun beliau tidak sedar bahawa beliaulah yang suka main wayang, mencetus perbalahan masyarakat di Sabah.
“Jika berasa diri itu benar, buktikanlah dulu di mahkamah akan tetapi masa di mahkamah boleh pula mengaku tidak bersalah…kegilaan apakah ini?
“Sehubungan itu, saya haraplah ada masyarakat kita masih berfikiran rasional tidak menyokong tindakan beliau (Albert) ini, “katanya.
Jelas Najib Tay lagi, berkenaan video rasuah yang ditularkan oleh Albert itu perlu diselesaikan di mahkamah dan biar undang-undang sahaja menyelesaikannya dari segenap segi, bukannya melalui desakan-desakan tertentu.
“Ini sampaikan keluar podcast, hentam sana sini, dan menyebar naratif songsang kepada kerajaan.
“Tapi bila masuk mahkamah, tidak mengaku bersalah memberi suapan…maksudnya apa yang dituduh tidak berlakulah bukan?
“Kita tolak strategi pembunuhan karekter sebegini, ini hanyalah retorik yang dibelakangi oleh tangan-tangan ghaib demi menjatuhkan imej kepimpinan pemimpin kerajaan, sudah-sudahlah, “katanya lagi.
