
Lahad Datu : Seorang lelaki berstatus suami orang bersama pasangannya seorang janda antara tiga pasangan yang ditahan dalam Ops Bersepadu sempena sambutan malam kemerdekaan, malam tadi.
Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu, Ustaz Mardi Ariffin berkata operasi yang dijalankan dari jam 9 malam hingga 1 pagi itu turut melibatkan pegawai JHEAINS dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu, JHEAINS Tungku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia.
Katanya, pemeriksaan di 10 buah hotel yang melibatkan lebih 60 bilik mendapati tiga pasangan ditahan kerana berkhalwat.
“Antara barang yang ditemui ketika serbuan ialah kondom, tisu magik dan cecair pelincir. Kami ingin menasihatkan umat Islam agar menjauhi zina serta tidak melanggar undang-undang syariah negara ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No. 3/1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. Bagi pesalah wanita, mereka boleh ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut.