LAHAD DATU: Keupayaan logistik Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus diperkukuh menerusi penyiapan projek pembinaan Stor Strategik ESSCOM yang berfungsi sebagai pusat penempatan dan penyimpanan aset taktikal serta strategik pasukan keselamatan.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata projek bernilai RM288 ribu itu merupakan milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui ESSCOM dan telah dimulakan pada 6 Oktober 2024 sebelum disiapkan sepenuhnya oleh kontraktor tempatan dari Sabah.
Beliau berkata stor strategik berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan aset keselamatan, sekali gus menyokong keperluan operasi ESSCOM dan pasukan keselamatan merangkumi domain darat, maritim dan udara.
“Dengan kemudahan ini, penyimpanan aset dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan selamat, seterusnya membantu mempertingkat tahap kesiapsiagaan operasi di kawasan Sabah Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Stor Strategik ESSCOM yang diadakan di Kompleks Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Victor menegaskan pelaksanaan Operasi Sanggah secara bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkasakan.
Menurutnya, langkah berterusan itu penting bagi memastikan kedaulatan negara, keselamatan wilayah serta ketenteraman awam di kawasan Sabah Timur sentiasa berada pada tahap tertinggi.
