
KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N.6 Bandau, Ardino Diris, mengambil langkah berani apabila mengumumkan bahawa beliau bersama lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian STAR Bandau akan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun kepimpinan tertinggi parti itu telah memutuskan keluar daripada gabungan berkenaan.
Menurutnya, keputusan untuk terus bersama GRS bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan beliau telah berjuang bersama Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, selama hampir dua dekad — sejak tahun 2006 di peringkat Negeri dan Parlimen Marudu.
“Saya gembira kerana perjuangan menuntut hak-hak Sabah yang dimulakan oleh Dr. Jeffrey dan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee kini menjadi perjuangan bersama semua parti politik tempatan Sabah, termasuk badan bukan kerajaan serta individu-individu yang cintakan negeri ini.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada proses perkembangan itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa STAR Bahagian Bandau di sini pada Ahad.
Ardino menegaskan, beliau serta kepimpinan STAR Bahagian Bandau tetap komited menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang disifatkannya berjaya membawa banyak perubahan positif dan menunaikan sebahagian besar tuntutan hak Sabah dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“GRS bukan sekadar gabungan politik, tetapi merupakan aspirasi rakyat Sabah yang mahu melihat parti-parti tempatan bersatu di bawah satu wadah formal untuk mentadbir negeri ini dengan seimbang dan stabil,” katanya.
Antara pimpinan bahagian itu yang menyatakan pendirian sama termasuk Naib Ketua Bahagian, Okiong Gintotok dan Jappri Taising; Setiausaha Bahagian, Helney Johari; Bendahari Bahagian, Jennifer Mampahau; Setiausaha Penganjur, Kahil Masnting; serta Ketua Penerangan, Felix Kain.
Turut bersama ialah AJK Bahagian terdiri daripada Jastin Ingkal, Dul Surugau, Lirus Galanang, Roy Chong, S. Mardi Bakri, serta Juruaudit Dalaman, Inglis Bakorta, selain Ketua-Ketua Biro dan 53 daripada 71 Ketua Cawangan STAR Bahagian Bandau yang menzahirkan solidariti terhadap keputusan berkenaan.
Ardino turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Dr. Jeffrey Kitingan atas segala tunjuk ajar dan pengalaman sepanjang perjuangannya dalam STAR.
“Saya menghargai pengalaman pahit manis di dalam STAR dan berterima kasih kepada presiden parti atas peluang serta kepercayaan yang diberikan selama ini,” katanya.
Ditanya mengenai statusnya sebagai Timbalan Ketua Penerangan STAR Pusat dan Ketua Bahagian STAR N.6 Bandau, Ardino berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.
“Biarlah kepimpinan yang menentukannya mengikut lunas perlembagaan parti,” ujarnya ringkas.