
LAHAD DATU: Seluruh masjid dan surau di daerah ini akan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin, doa dan tahlil khas pada Khamis, 14 Ogos 2025, selepas solat Maghrib, sebagai tanda solidariti dan doa bagi menuntut keadilan terhadap remaja, arwah Zara Qairina Mahathir.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu itu akan diketuai Pegawai Tadbir Agama, Ustaz Mardi Arifin, yang menyeru umat Islam di daerah ini untuk bersama-sama memohon pertolongan Allah SWT agar kebenaran ditegakkan.
Majlis tersebut akan dilaksanakan serentak di seluruh masjid dan surau dengan tema pakaian serba putih seperti baju Melayu putih, kurta putih, jubah putih atau sebarang pakaian berwarna putih, sebagai simbol kesatuan dan kesucian niat.
Menurut Ustaz Mardi, inisiatif ini bukan sahaja sebagai penghormatan kepada arwah, malah menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan dan hak kanak-kanak.
Orang ramai dijemput hadir ke masjid atau surau berdekatan bagi mengimarahkan majlis ini dan menunjukkan sokongan padu terhadap usaha mendapatkan #Justice4Zara.