
KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan pendirian lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti STAR untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) sebagai gambaran jelas keyakinan terhadap kepimpinan dan kekuatan gabungan itu.
Lima ADUN terbabit ialah ADUN Liawan, Tulid, Sook, Bingkor dan Paginatan yang disifatkan beliau sebagai kumpulan berpengaruh yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di kawasan masing-masing.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja keputusan besar tetapi juga berani, berlandaskan keyakinan bahawa GRS adalah wadah politik terbaik dalam menjamin kestabilan politik dan kesinambungan agenda pembangunan untuk rakyat Sabah.
“Dengan latar belakang kepimpinan serta rekod perkhidmatan mereka, kelima-lima ADUN ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kerusi masing-masing. Sokongan pengundi terhadap mereka wajar diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, kecemerlangan yang ditunjukkan itu adalah hasil gabungan kebolehan pemimpin terbabit dan dasar kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menerajui GRS sebagai wadah politik berteraskan rakyat Sabah.
Katanya, selepas lima tahun menerajui pentadbiran, GRS terbukti berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif bermanfaat kepada rakyat termasuk melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Pakatan Harapan-Plus (PH-Plus).
“Kebolehan Hajiji memimpin turut diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan. Banyak perundingan antara Sabah dan Persekutuan membuahkan hasil nyata, terutama dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” jelasnya.
Aksyah turut menekankan bahawa PRN-17 adalah detik penting yang akan membuktikan kematangan rakyat Sabah dalam memilih parti tempatan sebagai teras pemerintahan.
“GRS bukan sekadar wadah politik, ia adalah tembok besar yang dibentuk atas solidariti rakyat Sabah. Slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dan ‘Sabah First’ bukan sekadar retorik, tetapi mencerminkan semangat kebersamaan rakyat untuk terus kekal bernaung di bawah satu panji besar,” katanya.
Beliau menambah, buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Persekutuan menunjukkan keseriusan menunaikan perkara berkaitan kesejahteraan rakyat Sabah kerana kekuatan solidariti yang dibawa oleh GRS.
Mengulas mengenai keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri, Aksyah berkata beliau mendoakan kejayaan mereka meskipun berkemungkinan berhadapan pertandingan tiga penjuru bersama GRS.
“Senario sihat sebegini yang menyebabkan lima ADUN STAR memilih untuk terus menyokong penuh kepimpinan Hajiji dan GRS. Saya yakin GRS bersedia untuk sebarang kemungkinan dalam PRN-17,” katanya.