
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap rakyat di
negeri ini, termasuk masyarakat Cina, akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri sedia ada dalam usaha memajukan Sabah.
“Kerajaan Negeri pada masa ini akan terus memacu pembangunan kerana menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya semasa sambutan
Pesta Tanglung 2025 di Dewan Putra, Bukit Padang dekat sini malam ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan serta dedikasi masyarakat Cina dalam membantu membangunkan negeri ini.
“Oleh itu, marilah kita terus memelihara dan memperkukuh perpaduan ini serta menjadikan
Sabah contoh bagaimana kepelbagaian mampu menjadi kekuatan yang menyatukan kita semua.
“Dalam semangat perayaan ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk bekerjasama demi kemajuan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata Sabah merupakan contoh unggul bagi Malaysia dalam mengekalkan keharmonian
berbilang kaum.
“Dengan lebih daripada 30 kumpulan etnik, kita hidup dalam suasana saling menghormati. Kepelbagaian ini adalah satu anugerah yang menjadikan Sabah benar-benar istimewa.
Keharmonian yang kita nikmati bukanlah secara kebetulan, tetapi hasil daripada semangat kebersamaan, toleransi dan rasa hormat yang diamalkan oleh setiap rakyat Sabah.
“Semangat ini jelas terlihat dalam cara kita menyambut pelbagai perayaan seperti Tahun Baru
Cina, Pesta Tanglung, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Krismas bersama-sama.
“Oleh itu, kepelbagaian budaya yang kita miliki di Sabah mesti terus diraikan oleh semua, tanpa mengira bangsa atau agama.
“Kepelbagaian ini, termasuklah perayaan seperti Pesta Tanglung, telah membantu menyatukan rakyat negeri ini untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk perpaduan melalui pelbagai program dan inisiatif, walaupun usaha tersebut memerlukan sokongan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat.
“Oleh itu, saya berharap rakyat negeri ini akan terus bersatu padu dan tidak mudah terpengaruh
dengan naratif tidak berasas yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri.
“Selain itu, bidang lain seperti pendidikan, pembangunan modal insan, dan kesejahteraan rakyat turut menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri.
“Kita sedar terdapat cabaran yang perlu ditangani, termasuk isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu seperti bekalan air dan elektrik.
“Namun, kerajaan sedia ada akan terus berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu-isu ini melalui inisiatif jangka pendek dan jangka panjang. Apa yang paling penting ialah sokongan
rakyat agar Sabah terus makmur dalam Malaysia,” katanya.