
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sepanjang hampir lima tahun lalu menjadi bukti keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi, memperkukuh pembangunan serta menjaga kesejahteraan rakyat biarpun berdepan pelbagai cabaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, mandat rakyat sejak September 2020 dimanfaatkan sepenuhnya dengan pelaksanaan agenda pembangunan menyeluruh, sekali gus menepis tanggapan bahawa SMJ sekadar slogan tanpa tindakan.
“Segala janji dan perancangan menerusi agenda SMJ telah banyak kita laksanakan. Walaupun berdepan kata-kata sindiran dan tohmahan, kepimpinan kerajaan ini tetap teguh melaksanakan amanah yang diberikan rakyat,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka, pada Ahad.

Beliau berkata, ketika mengambil alih pentadbiran pada September 2020, negeri berdepan krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah.
Namun, perancangan teliti melalui dasar SMJ 1.0 berjaya memulihkan keadaan dan melonjakkan prestasi ekonomi ke tahap membanggakan.
“Sabah kini muncul sebagai negeri yang pesat membangun dengan sektor ekonomi semakin berkembang. Dari sebuah negeri yang bergantung kepada hasil bumi semata mata, kita kini mengembangkan pelancongan, perladangan, perhutanan dan petroleum sebagai penyumbang utama ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil usaha kerajaan bersama rakyat dan sokongan sektor swasta yang tidak pernah berputus asa walaupun berdepan cabaran global.
Menurut Hajiji, dasar SMJ adalah pelan strategik jangka panjang yang merangkumi pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi lebih berkesan dan kecekapan pentadbiran.
“Inilah bukti bahawa SMJ bukan sekadar dokumen. Ia adalah pelan menyeluruh yang memberi tumpuan bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pembangunan infrastruktur asas, pembasmian kemiskinan tegar dan peningkatan taraf hidup rakyat seluruhnya,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun kepimpinannya, pelbagai pencapaian signifikan dicapai termasuk peningkatan pelaburan masuk dan hasil negeri secara ketara, selain pengukuhan struktur pentadbiran kerajaan.
Hajiji turut menegaskan bahawa kerajaan negeri memberi penekanan besar kepada pembangunan modal insan, terutamanya dalam sektor pendidikan dan belia.
“Lebih RM1.3 bilion telah dibelanjakan dari 2021 hingga 2024 untuk pendidikan dan pembangunan belia. Pelaburan ini adalah untuk memastikan generasi muda Sabah dilengkapi ilmu, kemahiran dan daya saing bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Dalam konteks sambutan Hari Sabah, Hajiji menegaskan tarikh bersejarah itu menjadi bukti semangat rakyat negeri ini untuk meraih kebebasan daripada penjajah dan membina negeri yang berdaulat.
“Tema Hari Sabah tahun ini, Untukmu Sabah Tanah Airku, membawa maksud mendalam bahawa masa depan negeri ini terletak di tangan kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu memastikan Sabah terus maju, makmur serta rakyat hidup bersatu padu,” katanya.
Menurutnya, sambutan Hari Sabah bukan sekadar platform mengenang sejarah lalu, malah ruang untuk menghargai pencapaian yang telah dicapai sambil merancang masa depan yang lebih cemerlang.“Generasi muda khususnya perlu memahami erti kemerdekaan, menghargai pengorbanan pendahulu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negeri ini,” katanya.
Hajiji menyeru rakyat Sabah supaya terus mempertahankan keharmonian dan keamanan yang dinikmati sejak sekian lama, sambil bersama-sama membina Sabah yang lebih makmur dan inklusif.
“Saya mengajak rakyat Sabah untuk terus bersatu dalam menempuh segala cabaran membina Sabah Maju Jaya dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Keharmonian dan keamanan yang kita kecapi perlu terus dipelihara demi generasi akan datang,” katanya.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman merasmikan sambutan Hari Sabah 2025. Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin, bersama kepimpinan tertinggi negeri.
Deasoka