SEMPORNA; Pertubuhan Skuad Anak Sabah mencipta sejarah apabila berjaya merekodkan kutipan sampah seberat 8,833.80 kilogram, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kutipan sampah terberat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
Program bertajuk “Program Pembersihan Pantai Anak Sabah Semporna 2025” itu menghimpunkan seramai 500 ahli Skuad Anak Sabah di Padang Pekan Semporna dan Kampung Air, dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat.
Menurut Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Mazlan Mainan, inisiatif tersebut bertujuan membantu membersihkan kawasan Kampung Air yang dihuni majoriti masyarakat anak jati Sabah dan berdepan masalah pengurusan sisa yang serius.
“Program ini turut memperkukuh semangat sukarelawan dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan komuniti tempatan,” katanya.
Turut hadir wakil Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh Tiong Chin, yang menyampaikan pengiktirafan rasmi kepada pihak penganjur.
Kejayaan ini disifatkan sebagai penanda aras baharu kepada NGO negeri Sabah dalam mengangkat martabat semangat cintakan alam sekitar serta kebersihan pantai.
Program berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama strategik daripada pelbagai organisasi iaitu, Sawit Kinabalu Group,Grill Patio,K2 Water,Page Eight,HS Printing Solution dan Barber Addict.
Skuad Anak Sabah dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas semangat kesukarelawanan dan sumbangan yang memastikan kejayaan program ini sekali gus mengharumkan nama negeri Sabah di peringkat kebangsaan.
