
KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu menetapkan 23 September hadapan sebagai tarikh pengurusan kes pra perbicaraan melibatkan dua ADUN dan seorang ahli perniagaan atas dakwaan rasuah cari gali mineral di Sabah.
Hakim, Jason Juga menetapkan tarikh berkenaan bagi penyerahan dokumen tambahan daripada pihak pendakwaan, dokumen forensik, rekod telekomunikasi serta dokumen imigresen.
Hadir pada prosiding mahkamah pada pagi tadi adalah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN tanjung batu, Datuk Andi Surady Bandy.
Kedua-dua mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Manakala seorang lagi tertuduh, Datuk Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing mengikuti prosiding tersebut secara atas talian di mahkamah yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nurul Izzati Sapifee dan Rustam Sanip.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam masing-masing.
Terdahulu, menurut pertuduhan di mahkamah sebelum ini menyaksikan kedua-dua tertuduh Andi,54 dan Dr Yusof, 69, menerima suapan daripada Albert atau nama sebenarnya, Datuk Tei Jiann Cheing, 37, berhubung pengurusan lesen cari gali mineral membabitkan dua syarikat rakan kongsinya, Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd dan Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Keseluruhan wang sogokan terbabit berjumlah RM350,000.
Andi dan Dr Yusof berhadapan dengan tuduhan mengikut Seksyen 16A(a) Akta 2009 SPRM manakala Albert berhadapan dua tuduhan atas memberi sogokan mengikut Seksyen 16b(A) Akta 2009 SPRM.
Deasoka