
KENINGAU: Usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda terus diperkasa apabila Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Yin Keningau dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Keningau menganjurkan Program Kolaboratif di Dewan SJK (C) Yuk Yin, di sini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, yang turut menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif memperkenalkan kaedah peminjaman buku secara dalam talian kepada murid-murid sekolah.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja sejajar dengan perkembangan teknologi, malah penting dalam membentuk generasi celik maklumat serta berdaya saing di masa hadapan.
“Galakan membaca perlu bermula sejak di bangku sekolah. Dengan adanya kemudahan peminjaman buku secara digital, murid-murid lebih mudah mengakses bahan bacaan dan seterusnya meningkatkan minat terhadap ilmu,” katanya.
Sebagai tanda sokongan, Rafie turut menyumbangkan sebanyak 1,400 pek makanan kepada murid-murid yang hadir, sekali gus menyemarakkan suasana ceria sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, pihak penganjur dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada Rafie atas kesudian merasmikan program berkenaan.
Mereka yakin usaha tersebut mampu memberi motivasi kepada murid-murid di samping menyemai semangat cintakan ilmu pengetahuan dalam kalangan generasi muda.