
KENINGAU :Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia yang menjadikan pelajar sekolah sebagai mangsa eksploitasi seks selepas empat remaja perempuan berusia antara 13 hingga 21 tahun diselamatkan dalam beberapa serbuan sekitar pekan ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kes terbongkar selepas ibu bapa dua mangsa tampil membuat laporan polis pada 24 Julai lalu kerana mengesyaki anak mereka terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Menurutnya, hasil siasatan membawa kepada penangkapan lapan individu berusia 16 hingga 43 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu termasuk seorang gadis berusia 18 tahun, yang bertindak sebagai ‘ibu ayam’ dan merekrut mangsa bawah umur.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mencari pelanggan melalui aplikasi media sosial dengan bayaran sekitar RM200 untuk setiap khidmat seks. Bayaran deposit RM100 dimasukkan ke akaun ‘ibu ayam’, manakala baki dibayar pelanggan terus kepada mangsa di hotel yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, hasil maklumat daripada dua pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa, polis berjaya mengesan dua lagi wanita berusia 20 dan 21 tahun yang turut dieksploitasi sindiket berkenaan.
Katanya, serbuan membawa kepada penahanan beberapa individu lain termasuk ahli keluarga suspek utama serta pekerja hotel dan pusat hiburan yang dipercayai membantu melicinkan kegiatan itu.
“Semua mangsa diselamatkan dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu.
“Bagi dua mangsa bawah umur, Mahkamah Majistret Keningau turut meluluskan Perintah Perlindungan selama tiga bulan dan mereka kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Global Shepherds di Ampang, Selangor,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan hanya suspek utama iaitu ‘ibu ayam’ yang dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala tujuh yang lain dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.