
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kertas siasatan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir akan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut selewat-lewatnya pada minggu hadapan.
Memetik laporan daripada agensi berita kerajaan, Bernama.com hari ini, beliau juga mengesahkan polis telah selesai melakukan siasatan terhadap kes berkenaan dengan melibatkan kira-kira 60 orang saksi.
“Siasatan dah siap, saya ingat paling lewat minggu depan pihak polis akan serahkan (kertas siasatan) kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan itu.
Allahyarhamah Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah jam 4 pagi, pada 16 Julai lalu.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada keesokan harinya.
Terdahulu semalam, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo mengesahkan tiada sebarang bukti setakat ini yang mengaitkan penglibatan anak orang kenamaan (VIP), ahli keluarga menteri atau pihak Istana Negeri Sabah.
Ini susulan daripada reaksi ramai terutamanya pengguna media sosial yang menularkan perkara itu dengan mengaitkan kes dengan pembabitan orang-orang kenamaan.
Istana Seri Kinabalu pada Khamis tampil menafikan sepenuhnya dakwaan yang mengaitkan keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dengan kes tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan kertas siasatan sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Deasoka