PUTATAN: Pembangunan komuniti wanita menerusi bimbingan keusahawanan dan jaringan pemasaran produk mampu memberikan nilai tambah hasil ekonomi di daerah Putatan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, menerusi kerjasama rapat pihak dan agensi berkaitan, pembangunan ekonomi wanita di peringkat parlimen ini akan dipelbagaikan yang mana ia boleh menepati keboleh pasaran sedia ada.
“Bagi pihak Parlimen Putatan, sudah tentu kita akan menyokong usaha pembangunan komuniti wanita melalui latihan, bimbingan keusahawanan dan jaringan pemasaran produk tempatan.
“Kita juga pada masa sama menggalakan kolaborasi antara NGO, agensi kerajaan dan sektor swasta supaya program-program tersebut dapat diperluaskan di peringkat parlimen ini, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Projek Inkubator Mikro-Usahawan Suri Rumah dan Ibu Tunggal di Hotel Pan Borneo, Putatan, pada Sabtu.
Acara tersebut merupakan anjuran Oupus Organics selaku pelaksana projek manakala All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) sebagai inisiator program.
Para peserta adalah terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal dari Kg Lok Bonu, Kg Ulu Putatan dan Kg Meruntum.
Sementara itu, Shahelmey memuji pelaksanaan program sedemikian di mana pihaknya berharap ia dapat diperluaskan serta menjadi pemangkin di setiap komuniti di Putatan.
“Semoga kejayaan program seperti ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk bangkit dan berdikari,” jelasnya.
