PUTATAN : Masyarakat di daerah Putatan diseru untuk terus menyokong dan menyertai setiap acara kemasyarakatan bagi memastikan komuniti kekal aktif, sihat serta berdaya saing.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pembudayaan aktiviti sihat bukan sekadar melibatkan aspek fizikal, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan ukhuwah dan perpaduan di kalangan masyarakat setempat.
“Selain membudayakan aktiviti sihat, dengan kepelbagaian acara yang diadakan di Putatan, saya berpendapat bahawa melalui sokongan masyarakat sendiri, kita mampu melahirkan komuniti yang cerdas, sihat dan berintelektual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Sukan Taman Sri Serigai, Tanjung Keramat, di sini, hari ini.
Shahelmey turut menegaskan bahawa sokongan masyarakat terhadap aktiviti sukan dan sosial sama ada anjuran kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi memastikan gaya hidup sihat dapat diamalkan secara berterusan.
“Semua pihak perlu saling sokong menyokong antara satu sama lain dalam menjayakan program kemasyarakatan seperti ini kerana ia bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mengukuhkan semangat perpaduan di Putatan,” ujarnya.
Antara acara menarik yang diadakan sepanjang festival ialah pertandingan dart, karom dan futsal yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Mengulas lanjut, Shahelmey berkata pihaknya sedang merancang untuk menganjurkan pertandingan dart peringkat Parlimen Putatan selepas melihat peningkatan minat masyarakat terhadap sukan itu.
“Saya menerima banyak maklum balas positif, ramai yang menyatakan minat terhadap sukan dart ini dan Putatan juga mempunyai komuniti peminat yang aktif. Oleh itu, kita akan usahakan pertandingan di peringkat Parlimen tidak lama lagi, Insyallah,” katanya.
Festival sukan berkenaan turut menyaksikan kehadiran ramai penduduk setempat yang mengambil peluang mengeratkan hubungan sambil beriadah bersama keluarga.
