PUTATAN : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengakui masih mempertimbangkan pelbagai kemungkinan dalam menentukan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Mengulas mengenai kenyataan Barisan Nasional (BN) yang menegaskan bakal mengambil tindakan saman sekiranya beliau bertanding atas tiket lain, Shahelmey berkata masih ada ruang untuk membuat keputusan muktamad.
“Saya mengambil maklum terhadap perkara itu dan masih dalam proses mempertimbangkan kedudukan politik.
Seperti saya katakan, dalam politik ini tiga minggu adalah satu jangka masa yang agak lama. Macam-macam boleh terjadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan insentif kepada kontinjen Putatan yang meraih pingat pada kejohanan SAGA Sabah, di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan bahawa Shahelmey dan Datuk Andi Surady Bandy (Ahli Parlimen Kalabakan) bakal berdepan tindakan saman sebanyak RM100 juta sekiranya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.
Untuk rekod, kedua-dua mereka Shahelmey dan Andi yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu, telah digantung keahlian selama enam tahun oleh UMNO kerana tidak menyokong kepimpinan parti di Sabah dalam episod Langkah Kinabalu pada tahun 2023.
