PUTATAN : Pembangunan sukan e-Sport di Putatan dilihat mampu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan belia selain membuka peluang keusahawanan baharu dalam industri digital.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata e-Sport kini bukan lagi sekadar aktiviti hiburan atau permainan semata-mata, sebaliknya telah berevolusi menjadi industri besar yang merangkumi pembangunan teknologi maklumat, penciptaan kandungan dan ekonomi digital.
Menurutnya, Parlimen Putatan tidak mahu ketinggalan dalam arus perkembangan tersebut dan bercita-cita untuk menjadikan daerah itu sebagai salah satu pemangkin industri digital di Sabah.
“Seperti mana yang kita ketahui, sukan e-Sport ini menarik minat ramai anak muda dan semakin berkembang menjadi satu ekosistem industri yang berdaya maju.
“Kini ia bukan sekadar permainan, malah mampu menjana pendapatan melalui bidang seperti content creator, penyertaan pertandingan dan pelbagai cabang lain.
“Selain itu, e-Sport turut membawa nilai positif dengan memupuk semangat kerjasama berpasukan, disiplin, dan kesukanan yang tinggi,” katanya ketika merasmikan Pertandingan e-Sport Belia Tanjung Keramat di Dewan Mini Pasir Putih, Putatan, hari ini.
Shahelmey turut berharap penganjuran program seumpama itu menjadi platform kepada belia di Putatan untuk terlibat secara aktif dalam industri sukan digital.
“Selain beriadah bersama rakan-rakan, penglibatan dalam e-Sport juga dapat menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan budaya lepak.
“Usaha berterusan seperti ini perlu digalakkan kerana ia mampu melahir dan mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam bidang e-Sport di Putatan,” tambahnya.
