
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor muncul sebagai calon paling layak menerajui Sabah, dengan rekod kepimpinan lebih meyakinkan berbanding Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Briged Jeneral (Kehormat) Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said menegaskan kegagalan Shafie mempertahankan kerajaan negeri pada 2020 serta imej kontroversi Bung menjadikan Hajiji satu-satunya tokoh yang dilihat mampu membawa Sabah ke tahap lebih stabil.
Katanya, Hajiji mengambil alih kepimpinan pada saat genting selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 dan berjaya membentuk kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang stabil hingga hari ini.
Beliau berkata, berbanding dengan pentadbiran Shafie hanya bertahan dua tahun, tumbang akibat kerapuhan politik dalaman dan kegagalan mengurus sokongan
“Bung pula tidak pernah mengemudi kerajaan negeri, malah lebih sinonim dengan isu peribadi serta politik konfrontasi yang sering menggugat kestabilan parti.
“Di bawah kepimpinan Hajiji, dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi kerangka pembangunan komprehensif, meliputi ekonomi, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan pelaburan asing”, katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurut Jerry, Hajiji juga berjaya membawa pulang lebih banyak hasil minyak dan gas melalui rundingan dengan Petronas, sekali gus meningkatkan pendapatan negeri.
Beliau berkata, Shafie tidak mempunyai rekod seumpama itu ketika memegang jawatan Ketua Menteri, walaupun sering melaungkan isu hak Sabah dalam ceramah politik.
“Bung pula dilihat tidak mempunyai visi jelas untuk pembangunan negeri, sebaliknya lebih tertumpu kepada isu dalaman UMNO”, tegasnya.
Jerry berkata, gaya kepimpinan Hajiji yang sederhana dan tidak gemar berkonfrontasi membolehkannya meraih sokongan rentas parti serta memastikan kerajaan negeri kekal stabil.
Malah katanya, kerjasama strategik antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri membuktikan Hajiji bijak menguruskan politik dengan matang.
Sebaliknya menurut beliau, Shafie sering dilihat mengamalkan politik konfrontasi dan retorik yang tidak banyak menyumbang kepada keharmonian politik Sabah.
“Bung pula lebih dikenali kerana kenyataan lantang yang sering mencetus kontroversi berbanding cadangan penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Dari segi pembangunan, Hajiji memberi fokus kepada infrastruktur luar bandar, projek air bersih, tenaga, jalan raya dan telekomunikasi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Beliau juga kerap turun padang, berjumpa rakyat di kampung dan bandar, mendengar sendiri masalah serta memastikan penyelesaian segera”, tegasnya.
Katanya, Shafie bagaimanapun dikritik kerana lebih banyak menumpukan masa pada retorik politik daripada tindakan konkrit ketika berkuasa.
Menurutnya, Bung pula dianggap lebih menonjol dalam isu politik peribadi berbanding agenda pembangunan negeri.
Selain itu, katanya, dasar pelaburan mesra perniagaan Hajiji berjaya menarik syarikat antarabangsa untuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan perladangan.
“Langkah ini membuka ribuan peluang pekerjaan baharu, mengurangkan kadar pengangguran dan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
“Shafie gagal, Bung penuh kontroversi, Hajiji pula membawa kestabilan dan pembangunan yang nyata,” katanya.
Beliau menambah, kelebihan Hajiji ialah kemampuan mengurus politik negeri tanpa menjejaskan agenda pembangunan rakyat.
“Berbanding pesaingnya, Hajiji lebih dilihat sebagai pemimpin penyatu, tidak terikat dengan konflik dalaman dan mampu menjalin hubungan baik dengan Persekutuan.
“Selain itu, sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan Hajiji memastikan dana pembangunan dan projek nasional terus mengalir ke Sabah”, katanya.
Jerry berkata, dengan PRN ke-17 semakin hampir, ramai berpendapat Hajiji adalah pilihan paling wajar untuk dikekalkan sebagai Ketua Menteri.
“Jika Sabah mahu stabil dan maju, Hajiji adalah pilihan terbaik. Shafie sudah diberi peluang tetapi gagal, Bung pula tidak diyakini rakyat,” katanya.
Maka tidak hairanlah semakin ramai pihak melihat Hajiji bukan sekadar Ketua Menteri semasa, tetapi pemimpin masa depan Sabah yang boleh membawa negeri ini lebih jauh.