KOTA KINABALU: Serangan dan kritikan terbuka bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak wajar, tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan institusi.
Mantan Pengerusi Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said menegaskan, Azam sebagai ketua jabatan kerajaan persekutuan bukan ahli politik dan tidak berada dalam kedudukan untuk mempertahankan diri melalui polemik politik atau serangan terbuka di media.
“Tan Sri Azam bukan tokoh politik. Beliau menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam tertinggi dalam institusi penguatkuasaan. Tidak adil apabila beliau dijadikan sasaran serangan politik seolah-olah beliau sebahagian daripada percaturan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas dakwaan Rafizi bahawa PKR telah berubah pendirian terhadap Azam selepas menjadi kerajaan, Jerry menegaskan isu sebenar bukan perubahan individu, sebaliknya perubahan konteks politik dan fakta hasil siasatan rasmi.
“Siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti, Jabatan Peguam Negara dan pihak berkuasa berkaitan sebelum ini telah dibuat. Jika Azam didapati tidak bersalah berdasarkan proses undang-undang, maka prinsip kedaulatan undang-undang wajib dihormati,” katanya.
Menurut Jerry, menuntut peletakan jawatan seseorang hanya berdasarkan persepsi politik atau sentimen lama tanpa mengambil kira hasil siasatan adalah berbahaya kerana boleh melemahkan institusi negara.
“Kalau setiap ketua jabatan dipaksa berundur hanya kerana tekanan politik, maka runtuhlah sistem pentadbiran dan kebebasan institusi. Ini bukan soal mempertahankan individu, tetapi mempertahankan institusi,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Rafizi yang mengaitkan kredibiliti PKR dan kerajaan dengan kedudukan Azam sebagai satu bentuk tekanan politik terhadap SPRM yang sepatutnya bebas dan profesional.
“SPRM perlu diberi ruang menjalankan tugas tanpa diganggu naratif politik. Menyerang Azam secara berterusan seolah-olah menggambarkan SPRM sebagai alat politik, sedangkan banyak siasatan berprofil tinggi telah dijalankan termasuk melibatkan tokoh berpengaruh,” katanya.
Jerry menegaskan bahawa tindakan Azam memaklumkan hasrat untuk tidak lagi menyambung kontrak selepas tamat tempoh perkhidmatannya juga membuktikan beliau sedar akan sensitiviti jawatan dan persepsi awam.
“Ini menunjukkan kematangan dan tanggungjawab, bukan keangkuhan seperti yang cuba digambarkan. Beliau tidak mempertahankan jawatan dengan kuasa politik,” katanya.
Sehubungan itu, Jerry menggesa semua pihak, termasuk pemimpin politik, agar lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menjadikan penjawat awam sebagai mangsa percaturan politik.
“Perjuangan antirasuah tidak boleh bersifat terpilih atau bermotif politik. Jika benar mahu mempertahankan integriti, hormatilah proses undang-undang dan kebebasan institusi,” katanya.
