LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia manakala lima lagi mangsa cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Silam sebelum Sekolah Kebangsaan Silam di sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada jam 2.29 petang dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu digerakkan ke lokasi sejauh 24 kilometer.
Komander Operasi PBK I Mohamud Bin Punya memaklumkan kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner dan sebuah Perodua Axia yang bertembung. Seramai lima mangsa berada di dalam Toyota Fortuner sementara seorang lagi mangsa merupakan pemandu Perodua Axia.
Seorang mangsa dalam Toyota Fortuner tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS. Seorang mangsa wanita berusia 50 tahun pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiga mangsa perempuan yang lain dilaporkan cedera ringan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia. Maklumat mangsa yang menaiki Perodua Axia belum diperoleh setakat laporan dikeluarkan.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 3.20 petang dan tamat pada 3.29 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.
