
LAHAD DATU: Program Sentuhan Kasih Desa Madani terus menjadi bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan modal insan desa melalui pelbagai inisiatif yang holistik, inklusif dan menyeluruh.
KEMAS, selaku sayap penting Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), memainkan peranan utama dalam mengarusperdanakan ilmu, membina potensi dan menyampaikan khidmat masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
Pelbagai program dilaksanakan bagi membantu usahawan memahami bantuan kerajaan, membuka lebih banyak peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan belia, selain memastikan komuniti desa lebih memahami dasar-dasar penting Kerajaan Madani.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Panglima Dr Ahmad Zahid Hamidi, KKDW telah merangka strategi pemerkasaan pendidikan desa melalui beberapa inisiatif utama seperti Pra-Tahfiz TABIKA KEMAS, TVET dan TVET Tahfiz, Smart Classroom@KEMAS, PeliTa@KEMAS yang melahirkan Huffaz Cilik, serta Tabika Tunas Istimewa@KEMAS untuk anak-anak autism.
“Tahun ini sahaja, sebanyak 42 ‘game changer’ telah diperkenalkan bagi memperkukuh modal insan desa, dengan memberi penekanan kepada pendidikan awal kanak-kanak, kemahiran digital dan pembentukan sahsiah diri,” katanya.
Tambah beliau, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan memperuntukkan RM67 bilion untuk sektor pendidikan yang merangkumi pembinaan sekolah baharu, menaik taraf bangunan sekolah termasuk Tadika KEMAS, serta penambahbaikan fasiliti institusi pengajian tinggi awam.
RMK13 turut menggariskan pembaharuan menyeluruh pendidikan awal negara antaranya mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun, pendidikan rendah bermula pada usia enam tahun, kurikulum prasekolah kebangsaan dijadikan mandatori, perluasan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pembelajaran dan komunikasi, pengenalan bahasa tambahan di sekolah rendah serta penekanan terhadap aliran STEM dan TVET.
“Semua langkah ini akan mencetuskan gelombang baharu pendidikan awal kanak-kanak dalam tempoh lima tahun akan datang. Pendidikan hari ini adalah asas kepada negara esok. Kita mesti membina kekuatan bangsa bermula daripada akar paling awal,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah sentiasa menjadi keutamaan kerana negeri itu adalah rakan strategik pembangunan negara, bukan sekadar wilayah yang memerlukan bantuan.
“Sabah mempunyai kelebihan tersendiri dari segi sumber alam, keindahan geografi, keunikan budaya dan kekuatan perpaduan rakyatnya. Jika kita memberi tumpuan kepada pembangunan desa, infrastruktur asas serta membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan, Sabah bukan sahaja mampu mengejar malah mendahului negeri-negeri lain dalam beberapa bidang utama,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus bersatu bukan hanya untuk pilihan raya tetapi demi masa depan generasi akan datang.
“Di bawah gagasan Madani, desa bukan lagi dipinggirkan tetapi diangkat sebagai pemacu masa depan negara. Namun, ia hanya akan berjaya jika rakyat bersama menjadi rakan pembangunan dan penjaga warisan bangsa,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KEMAS Sabah, pemimpin tempatan, para sukarelawan serta komuniti desa yang berganding bahu menjayakan Sentuhan Kasih Desa Madani @ Lahad Datu.
“Pertahankanlah sebuah kerajaan yang membawa harapan, bukan sekadar retorik politik. Teguhkan perpaduan demi Malaysia yang terus melangkah maju, bermaruah dan berjati diri,” katanya.
Deasoka