
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengarahkan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan serta-merta, khususnya di kawasan yang kerap dilanda banjir, berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Menurutnya, langkah segera itu penting untuk memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, selain mempercepatkan koordinasi antara agensi keselamatan, jabatan teknikal serta pihak berkuasa tempatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam.
“Dengan pengaktifan JPBD, sebarang bentuk bantuan dapat digerakkan lebih pantas, termasuk kerja-kerja penyelamatan, pemindahan mangsa dan penyediaan keperluan asas di pusat pemindahan sementara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan.
“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap situasi banjir dan tanah runtuh yang berlaku. Saya sudah arahkan semua JPBD supaya diaktifkan sepenuhnya agar setiap tindakan dapat diselaras dan rakyat terjejas mendapat perlindungan serta bantuan sewajarnya,” tegasnya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 379 mangsa daripada 123 keluarga dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort dan Penampang.
Di Beaufort, 149 mangsa daripada 53 keluarga kini ditempatkan di PPS Selagon. Sementara itu, di Penampang, seramai 230 mangsa daripada 70 keluarga dipindahkan ke tiga PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (83 orang), SK St Paul Kolopis (50 orang) dan Dewan Huguan Siou (97 orang).
Secara keseluruhan, jumlah mangsa di PPS melibatkan 127 lelaki dewasa termasuk warga emas, 139 wanita dewasa serta warga emas, manakala selebihnya 113 terdiri daripada kanak-kanak dan bayi.
Dalam pada itu, Hajiji turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya berwaspada dengan hujan berterusan dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa.
“Jangan ambil risiko berada di kawasan bahaya. Keselamatan keluarga mesti diutamakan. Kerajaan akan memastikan bantuan makanan, logistik dan keperluan lain terus disalurkan kepada semua mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan berlaku tanah runtuh yang menimbus sebuah rumah separuh kekal dua tingkat di Kampung Sarapung, Penampang kira-kira jam 6.10 petang semalam.
Menurut laporan operasi, terdapat dua mangsa dalam kejadian itu. Seorang wanita
berjaya diselamatkan orang awam dengan kecederaan ringan, manakala seorang
lelaki berusia 97 tahun masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat sedang
diteruskan.